Thursday, March 19, 2009

Asal usul nama Gua Musang


Secara umumnya, Gua Musang bermaksud “gua atau tempat musang”. Ia merupakan sebuah pekan kecil yang diselusuri oleh jalan keretapi di Ulu Kelantan, iaitu kira-kira 160 km dari selatan Kuala Krai. Di bahagian timur pekan ini, terdapat sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Gua Musang setinggi 105 meter. Pada masa dahulu sebelum diterokai, kawasan ini dihuni oleh masyarakat orang asli yang hidup dengan memburu, suka berpindah-randah dan tidak bergaul dengan masyarakat lain.


Kejadian bermula apabila sekumpulan orang asli ini keluar berburu namun tidak mendapat hasil tangakapan. Mereka menanti seketika sehinggalah ternampak seekor ayam hutan yang berlari dengan pantas. Rupa-rupanya ayam hutan itu dikejar oleh musang dan mereka pun mengekori ayam itu. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila ayam tersebut hilang di dalam hutan tebal itu. Tidak lama selepas itu, mereka sekali lagi terserempak dengan seekor musang sedang mengejar ayam hutan tidak jauh dari tempat kejadian yang pertama tadi. Kali ini juga mereka tidak sempat menyumpit ayam hutan itu. Kedua-dua kejadian ini menghairankan mereka kerana sebelum ini kejadian seumpama itu belum pernah berlaku. Biasanya mereka dapat menyumpit binatang yang diburu, akan tetapi pada hari itu mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.



Pada hari berikutnya apabila mereka keluar berburu, kejadian yang sama juga berlaku di mana mereka ternampak musang sedang mengejar ayam hutan di tempat yang sama ditepi sebuah gua. Mereka cuba menyumpit ayam hutan itu tetapi gagal dan kejadian ini menambahkan lagi kehairanan mereka. Keesokkan harinya mereka keluar meramai-ramai untuk mengesan tempat hilangnya ayam-ayam hutan yang dikejar oleh musang sejak beberapa hari lalu. Mereka menjumpai satu lubang yang menyerupai seekor musang sedang mengejar seekor ayam.



Setelah melihat bentuk gua tersebut mereka berasa takut dan terus meninggalkan tempat itu. Mereka menamakan tempat itu Gua Musang. Sekarang gua tersebut menjadi daya tarikan pelancong kerana di dalam gua itu terdapat batu dengan pelbagai bentuk. Ada bentuk yang menyerupai ular, kepala gajah, gendang, telaga air terjun dan buah belimbing.

Sumber:

Mohd Roselan Abdul Malik, (1993). Salasilah nama tempat : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Penerbit Prisma Sdn Bhd

1 comment:

ftsb.izzuddin said...

Slam bro mohon share ye untuk : www.guamusanginfo.com.my akan dipubliskan nanti