Thursday, March 19, 2009

Gua Cha

Gua Cha adalah juga dikenali sebagai Gua Menteri. Gua ini terletak di suatu kawasan di tebing sebelah barat Sungai Nenggiri, di pendalaman Ulu Kelantan, iaitu kira-kira 16 kilometer ke hilir Kampung Kuala Betis. Ahli-ahli arkeologi telah membuat penggalian di gua ini dan mendapati banyak kesan-kesan sejarah tinggalan manusia zaman purba. Ahli-ahli arkeologi telah menemui artifek yang merupakan rangka manusia dan sisa-sisa makanan tinggalan manusia zaman Hoabinhian pada lapisan bawah tanah.

Pada tahun 1964, pihak Muzium Negara telah menjumpai satu rangka manusia di dalam gua ini. Rangka tersebut dipercayai rangka manusia yang hidup 2,000 tahun dahulu. Selepas pendudukan manusia zaman Hoabinhian, gua ini didiami pula oleh manusia zaman batu baru (Neolitik). Di antara tinggalan-tinggalan yang ditemui ialah rangka-rangka manusia, penarah, periuk belanga, kapak batu empat persegi, cincin batu, gelang, pinggan mangkuk dan sudu. Kini bahan-bahan kesan tinggalan sejarah yang ditemui tersebut berada dalam simpanan Muzium Negara

Sumber Rujukan :

(a) Mohamed Roelan Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan tempat-tempat menarik : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Oscar Book International.
(b) Asmad, (1987). Siri Lambaian Nusa : Kelantan. Melaka : Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd

No comments: