Istana Jahar atau Istana Johar adalah terletak berhadapan dengan Istana Balai Besar, Kota Bharu Kelantan. Istana ini dibina oleh Sultan Muhammad II untuk cucunda lelakinya, Long Kundur iaitu Raja Bendahara pada tahun 1886. Istana baru ini dinamakan Istana Raja Bendahara iaitu mengambil sempena nama Raja Bendahara yang bersemayam di istana tersebut.
Pembinaan Istana Raja Bendahara ini telah siap pada masa pemerintahan Sultan Ahmad I (1886-1889). Istana ini menjadi istana rasmi Raja Bendahara namun Istana Balai Besar masih menjadi istana rasmi Sultan Kelantan. Pada tahun 1889, Raja Bendahara dilantik menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan Muhammad III. Apabila baginda mangkat pada tahun 1891, adindanya Long Mansur menjadi Sultan Kelantan bergelar Sultan Mansur. Sultan Mansur bersemayam di Istana Balai Besar kerana istana Raja Bendahara menjadi tempat bersemayam Long Senik dan Long Senik menggantikan Sultan Mansur sebagai Sultan Muhammad IV selepas kemangkatan Sultan Mansur.
Pada 1920, Sultan Muhammad IV menukarkan nama Istana Raja Bendahara kepada Istana Jahar iaitu mengambil sempena nama sebatang pokok jahar yang hanyut masuk ke kawasan istana semasa berlaku banjir besar. Selepas kejadian itu beberapa batang pokok jahar ditanam di perkarangan istana. Istana Jahar juga menjadi tempat bersemayam sultan-sultan Kelantan yang memerintah negeri itu dan tidak digunakan lagi sebagai tempat bersemayam apabila Sultan Yahya Petra berpindah ke istana baru. Kini Istana Jahar dijadikan Muzium Negeri Kelantan.
Sumber Rujukan :
(a) Mohamed Roelan Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan tempat-tempat menarik : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Oscar Book International.
(b) Asmad, (1987). Siri Lambaian Nusa : Kelantan. Melaka : Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment