Thursday, March 19, 2009

Kota Jelasin

Kota Jelasin terletak kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Kota Bharu. Kota ini terkenal semasa di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang dari tahun 1548 sehingga 1580. Kota Jelasin dibuka pada tahun 1663 dan dibina dengan kayu-kayu tebal serta diukir dengan baiknya oleh tukang-tukang ukir yang masyhur. Kubu-kubu pertahanan dibina berhampiran dengan kota tersebut. Parit-parit digali dengan dalamnya serta timbunan tanah yang tebal dibuat sebagai benteng pertahanan.

Semasa pemerintahan Puteri Saadong, kota ini bertambah maju dan kota ini dijadikan sebagai kubu pertahanan negeri Kelantan daripada serangan dan ancaman luar. Mengikut sejarah, Kota Jelasin pernah diserang oleh Raja Siam disebabkan iri hati dengan kemajuan Kota Jelasin. Akhirnya, Kota Jelasin binasa dan Puteri Saadong juga menghilangkan diri. Semenjak itu berita daripada Puteri Saadong tidak diketahui dan keadaan Kota Jelasin semakin kucar-kacir tanpa pemerintah.

Kini Kota Jelasin hanya dikenali dengan nama Kota sahaja. Kesan peninggalan kota lama itu hampir lenyap kerana kurang perhatian untuk memeliharanya dan kawasan sekitar kota tersebut kini ditumbuhi belukar.

Sumber Rujukan :

(a) Mohamed Roelan Abdul Malek, (1998). Kesan Sejarah dan tempat-tempat menarik : Negeri Kelantan Darul Naim. Petaling Jaya : Oscar Book International.
(b) Asmad, (1987). Siri Lambaian Nusa : Kelantan. Melaka : Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.

No comments: